Thursday, 9 May 2013

AMANAH & TANGGUNGJAWAB ATAU KEDUDUKAN & PANGKAT: PERHITUNGAN DOSA & PAHALA

Bismillahirohmanirohim dan Assalamualaikum WBT.
Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT dan selawat ke atas junjungan agung Nabi Muhammad SAW.
In shaa Allah, pemilik nukilan ini ingin berpesan kepada diri sendiri (pemilik nukilan ini) dan semua sahabat supaya sama-sama beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan sepenuh taqwa.

Ketika nukilan ini ditulis, pemilik nukilan ini masih lagi memegang amanah dan tanggungjawab sebagai EXCO AKADEMIK & KERJAYA dan bakal akan melepaskan jawatan ini pada 14/5/2013 bersempena dengan Mesyuarat Agung (AGM) Persatuan Geografi UPSI Kali Ke-12. Jika diikutkan kepada kedudukan dalam kepimpinan, Exco Akademik dan Kerjaya menjadi salah satu Exco Kanan (ini adalah pandangan pemilik nukilan sahaja). Sepanjang dua semester daripada Semester 3 Sesi 2012/2013 mula-mula pemilik nukilan ini memegang jawatan ini sehinggalah Semester 4 Sesi 2012/2013 yang akan berakhir tidak alam lagi, pemilik nukilan ini memohon maaf kepada semua aktivis Pergeo jika gagal untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semoga apa sahaja yang dilakukan oleh pemilik nukilan ini dan saf kepimpinan dicatatkan sebagai amalan kebaikan.

Perhitungan di atas amanah dan tanggungjawab yang dipegang selama ini pasti ada daripada Allah SWT. Keagungan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung umat manusia sudah pasti tidak mampu untuk ditandingi oleh sesiapa sahaja. Ia juga seperti pemilik nukilan ini yang tidak mampu menandingi, tidak sehebat pemimpin agung Nabi Muhammad SAW. Namun, in shaa Allah, usaha dan ikhtiar untuk melakukan yang terbaik untuk semua tidak dilupakan untuk dilakukan.

Tempoh yang lama sebagai Exco Akademik & Kerjaya Persatuan Geografi UPSI Sesi 2012/2013 bukan suatu keagungan dan kemegahan, namun satu perhitungan dosa dan pahala bagi sesuatu amanah dan tanggungjawab. Ujian Allah SWT itu pasti ada sama ada kecil atau besar yang datang dalam pelbagai cara dan kaedah. Masa itu sangat berharga dan nescaya masa itu dimanfaatkan untuk Allah SWT dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab. Semoga apa sahaja dilakukan dalam tempoh masa itu, dicatatkan sebagai amalan kebaikan dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Tanggal 14/5/2013 akan tiba dan pasti akan tiba. Kalau bercerita mengenai tanggal tersebut, bukan memikirkan mengenai kedudukan atau pangkat. Tetapi memikirkan persahabatan, persaudaraan, amanah dan tanggungjawab yang akan ada dan anugerah daripada Allah SWT. Pada tanggal itu juga maka akan berakhirlah amanah dan tanggungjawab pemilik nukilan ini sebagai Exco Akademik dan Kerjaya. Kembali menjadi insan yang tidak memiliki jawatan dan kedudukan dalam sebuah organisasi mungkin menjadi pilihan yang terbaik. Tanggal 14/5/2013 akan menyaksikan AGM Pergeo dan peletakkan jawatan saf kepimpinan Pergeo Sesi 2012/2013 dan berlaku pemilihan saf kepimpinan baru bagi saf kepimpinan Pergeo Sesi 2013/2014. Amanah dan tanggungjawab akan dipikul oleh mereka-mereka yang berkemampuan dan berkebolehan dengan metetakkan amanah dan tanggungjawab ini sebagai satu dugaan, tanda kasih sayang Allah SWT kepada hambanya dan ibadah kepada Allah SWT.

Saf kepimpinan Pergeo Sesi 2012/2013 akan meninggalkan legasi kepimpinan dan digantikan dengan saf kepimpinan yang baru. Tiada yang lama, maka tiada yang baru. Patah tumbuh, hilang berganti. Itulah adat dalam kepimpinan. Pasti akan berlaku perubahan dan penambahbaikan dalam sesuatu organisasi. Cuma pada tanggal tersebut semoga tiada yang mengejar kedudukan dan pangkat kerana takut mendapat kemurkaan dan kebencian orang Allah SWT. Biarlah ia datang dan pergi kerana Allah SWT. Segala ketentuan itu milik Allah SWT, cuma manusia perlu merancang dan keputusan perancangan itu milik Allah jua. Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan mansusia.

Akhir kalam, pemilik nukilan ini memohon maaf dan ampun jika kegagalan dan kelemahan yang ada itu datang daripada diri pemilik ini sendiri. Semoga persahabatan, persaudaraan dan kekeluarga yang dibina selama ini akan kekal abadi dan berada dalam syafaat Allah SWT.

Wasalam.....
10/5/2013

No comments:

Post a Comment